Persediaan Ilmu
Kelas
Penyusuan
Ramai
beranggapan penyusuan susu ibu adalah sesuatu yang semulajadi. Hakikatnya, ia
perlu dipelajari. Tanpa adanya ilmu yang mencukupi, dikhuatiri anda akan
terkandas di pertengahan jalan nanti.
Jadi,
ada baiknya anda menghadiri kelas penyusuan semasa hamil. Anda boleh memilih
kelas penyusuan di hospital atau klinik kerajaan yang sering diadakan secara
percuma. Anda juga boleh memilih kelas berbayar di mana kebanyakkannya
dikendalikan oleh kaunselor laktasi bertauliah. Sebaik-baiknya hadir ke kelas
berkenaan bersama-sama suami supaya dia pun turut memahami konsep penyusuan
susu ibu. Apabila suami mempunyai kesedaran tentang kebaikan susu ibu, sudah
tentu anda mendapat sokongan padu daripadanya.
Kumpul
Maklumat
Cari
sebanyak mungkin ilmu tentang penyusuan susu ibu. Hal ini penting agar anda
faham konsep asas penyusuan iaitu semakin kerap payudara dikosongkan semakin
banyak susu dihasilkan. Selain daripada itu menghadiri kelas, anda boleh menambah
ilmu menerusi pelbagai sumber. Antaranya bahan bacaan bercetak, laman web,
blog, forum dan sebagainya.
Nombor
Telefon
Kaunselor
laktasi sangat diperlukan sewaktu anda mengalami masalah berkaitan penyusuan
susu ibu terutamanya pada hari-hari pertama selepas kelahiran bayi. Jadi,
simpan nombor telefon kaunselor laktasi yang berdekatan dengan tempat tinggal
anda. Dengan yang demikian, ia dapat memudahkan anda membuat rujukan apabila
mengalami sebarang kelak.
Sertai
Komuniti
Di
Malaysia terdapat banyak komuniti susu ibu yang bermatlamat menyokong para ibu
menyusu agar lebih yakin untuk menyusukan si manja. Sertailah komuniti atau
forum penyusuan susu ibu supaya anda mendapat sokongan daripada rakan-rakan
lain yang sama-sama menyertainya.
Persediaan Fizikal
Pemakanan
Sihat
Apabila
anda mengamalkan pemakanan sihat semasa hamil, ia membantu pembentukan
kelenjar-kelenjar susu di dalam tisu-tisu tubuh. Lalu, memudahkan penghasilan
dan pengaliran susu ibu sebaik bayi dilahirkan. Pada masa yang sama, pastikan
keperluan kalsium dan protein dalam tubuh mencukupi.
Pilihan
Hospital
Pilihlah
hospital yang menyokong penyusuan susu ibu dan mesra ibu dan bayi. Sebelum
melahirkan, berbincanglah dengan doktor yang memeriksa kehamilan tentang
keinginan anda menyusukan bayi sebaik kelahirannya.
Peralatan
Penyusuan
Persediaan
peralatan penyusuan susu ibu adalah sangat penting di dalam memastikan anda
dapat menyusukan bayi dengan lancar. Antaranya ialah pam payudara, coli
penyusuan, pelapik payudara, bekas penyimpanan susu ibu, beg pendingin, pek
ais, kain pelindung penyusuan, peti sejuk dan lain-lain.
Anda
sangat digalakkan untuk membeli pam payudara sebelum bersalin yang bersesuaian dengan
suasana tempat kerja. Sebaik-baiknya pilih pam bergred hospital. Oleh yang
demikian, anda disyorkan mencuba dahulu pam tersebut sebelum membelinya. Selain
itu, coli penyusuan dan pelapik payudara penting pada awal kelahiran kerana
anda mungkin kerap mengalami kebocoran.
Peti
sejuk juga merupakan peralatan penting yang anda perlu ada untuk menjayakan
penyusuan susu ibu. Hal ini kerana ia membantu memanjangkan jangka hayat susu
ibu perahan.
Bekas
penyimpanan susu ibu, beg pendingin dan pek ais juga perlu ada. Anda tidak
dapat menjangka apa yang berlaku selepas kelahiran bayi. Mungkin anda atau bayi
terpaksa ditahan di hospital atas komplikasi tertentu.
Kebersihan
Puting
Bersihkan
puting setiap kali mandi. Gunakan tuala bersih dan air suam untuk mencucinya. Namun,
elakkan menyapu sabun di bahagian puting. Langkah ini sangat penting
terutamanya di trimester terakhir kerana kolostrum sudah mulai terhasil. Jika tidak
dibersihkan sebaik-baiknya, ia dikhuatiri tersumbat. Dalam pada itu, anda boleh
juga menarik dan mengurut puting perlahan-lahan ataupun menyikat kedua-dua
belah payudara menggunakan sikat secara perlahan-lahan.
Kenali
Payudara
Anda
perlu mengenali payudara sendiri! Perkara ini nampak remeh tetapi memberikan
impak yang besar. Ia membolehkan anda mengetahui sama ada anda mempunyai puting
tenggelam atau normal. Cara pemeriksaannya mudah dan boleh dilakukan ketika
mandi. Tekan puting payudara dengan tapak tangan selama dua minit dan lepaskan.
Jika puting kembali seperti biasa, bermakna payudara anda normal. Jika hampir
seminit menunggu tiada apa-apa perubahan, itu bermakna anda mempunyai masalah
puting tenggelam. Apabila sudah mengetahui masalah payudara, ia memudahkan anda
penyelesaian awal agar lebih bersedia dengan segala kemungkinan yang ada.
Persediaan Emosi
Niat
Pasang
niat dan mula berazam untuk menyusukan anak yang bakal dilahirkan sejak anda
mula disahkan hamil. Setelah azam di tanam, jangan lupa untuk suburkannya
dengan motivasi menerusi pembacaan, perkongsian pengalaman dan sebagainya. Dengan
niat dan azam yang kuat, anda tidak mungkin mudah berputus asa. Segala rintangan
dan dugaan pasti sanggup anda harungi jika niat dan azam diutamakan melebihi
segala-galanya.
Berdoa
Sentiasa
berdoa dipermudahkan proses perjalanan penyusuan anak anda. Dia suka mendengar
doa hamba-Nya. Jadi, selalu dekatkan diri kepada Allah s.w.t. sesungguhnya Dia
Maha Pemberi Rezeki yang bakal anak anda peroleh nanti iaitu susu ibu.
Sokongan
Kongsi
niat anda untuk menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu ibu bersama suami, ahli
keluarga dan rakan-rakan. Nyatakan hasrat anda untuk mendapat sokongan daripada
mereka terutamanya daripada pihak suami. Sokongan yang dimaksudkan bukan
setakat bersetuju dengan keinginan anda mahu menyusukan bayi tetapi ia perlu
lebih daripada itu.
Oleh
itu, banyakkan berbincang tentang perancangan yang bakal dilakukan dan pada
masa yang sama, bersama-sama lengkapkan ilmu agar semua sedar dengan peranan
masing-masing dalam membantu anda menjayakan penyusuan susu ibu.
Yakin
Sentiasa
berfikiran positif bahawa anda akan dapat menyusukan anak kelak. Yakinilah bahawa
anda boleh menyusukan bayi sejurus selepas kelahirannya. Ingat, pengeluaran
susu ibu adalah berasaskan konsep permintaan dan penawaran. Jadi, susukan bayi
sekerap mungkin sebaik kelahirannya. Fahami juga bahawa pada awal kelahiran
bayi hanya mendapat kolostrum. Selepas iu, susu ibu akan meningkat sedikit demi
sedikit. Teruskan kekerapan menyusu dan sentiasa berfikiran positif bahawa susu
anda cukup untuk keperluan anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan